PENYERANG Thailand, Adisak Kraisorn berharap dia bakal mendapat sambutan mesra apabila bermain di Liga Super Malaysia musim ini selepas jaringannya berjaya mengecewakan Malaysia dalam aksi separuh akhir kedua Kejohanan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.

Adisak menjaringkan gol ketiga yang sekaligus memadam sisa perjuangan Harimau Malaya dalam perlawanan yang berkesudahan dengan keputusan 3-0 di Stadium Thammasat, Bangkok pada Selasa.

Pemain berusia 31 tahun itu sudah menandatangani kontrak untuk bersama Terengganu FC bagi dan jaringannya pada perlawanan itu pastinya akan diingati oleh para penyokong di Malaysia untuk tempoh yang agak panjang.

 

Bercakap kepada FLASH SUKAN selepas perlawanan, Adisak juga berharap agar dia dapat menyesuaikan diri dengan cepat di Terengganu di bawah kendalian Thomas Steinbruckner serta mempunyai musim yang baik di Malaysia.

Dia juga berbangga kerana berjaya menjaringkan gol buat Thailand sekaligus memadam mimpi ngeri terlepas penalti ketika menentang Malaysia di peringkat yang sama empat tahun lalu.

“Sudah pasti saya mengharapkan sambutan yang mesra di Malaysia. Tetapi buat masa ini fokus saya hanya pada pasukan kebangsaan Thailand dan berharap agar saya akan mempunyai musim yang baik di Malaysia nanti.

“Saya berbangga kerana dapat menjaringkan gol malam ini dan berjaya memadam mimpi ngeri terlepas penalti empat tahun lalu yang menghantui diri saya untuk satu tempoh yang agak lama,” katanya.

Adisak sebelum ini menjadi petualang buat Thailand apabila gagal ujian menyempurnakan sepakan penalti pada minit terakhir perlawanan sekaligus menyaksikan Malaysia layak ke final dengan peraturan gol di tempat lawan.

Kini dia akan memeriahkan aksi Liga Super Malaysia dan juga akan membawa cabaran Terengganu FC di Piala AFC dan dia percaya golnya dalam perlawanan ini adalah sebagai bukti dia masih mempunyai sentuhan berbisa.