ATLET tinju profesional negara, Adli Hafidz Mohd Pauzi gagal mempertahankan Kejuaraan WBC Asia Continental 2024, apabila tewas kepada peninju Thailand, Rattawut Thongaram pada Khamis.
Adli yang memegang rekod sebanyak 13 kemenangan sebelum ini terpaksa akur dengan keputusan sebulat suara setelah berusaha keras dalam 10 pusingan, namun masih diragui oleh pihak juri.
Dalam kekalahan yang mengecewakan itu, Adli sempat memuat naik hantaran di Facebook rasminya yang menyatakan permohonan maaf buat semua peminatnya.
“Saya mohon maaf. Keputusan tidak memihak seperti yang diharapkan. Saya sudah buat yang terbaik namun keputusan yang meragukan merencatkan perjalanan harini.
“Terima kasih saya ucapkan kepada kedua ibu bapa, isteri serta keluarga dan rakan-rakan yang tidak putus menyokong. Anak murid saya @goldenboxingclubjb terima kasih ada bersama saya.
“Saya akan kembali dengan lebih kuat!,” ujarnya menerusi hantaran yang dimuat naik.
Dalam masa yang sama, Adli turut mendedahkan bahawa dirinya ditolak sehingga tiga hingga empat kali dan dijatuhkan dengan sengaja namun tiada penolakan mata dari pihak juri.
Atlet yang berasal dari Johor itu ternyata kesal dengan keputusan berat sebelah apabila pengulas sendiri menyatakan kemenangan berpihak kepada Adli namun sebaliknya terjadi.
Adli akhirnya mengambil pengajaran daripada kekalahan ini dan hanya memandang positif. Jelasnya, dia akan kembali bangkit untuk perlawanan seterusnya yang akan diumumkan kelak.