MAJLIS perasmian Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) 2023 telah berlangsung pada Ahad di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras dan dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Acara yang penuh gemilang itu telah menghimpunkan lebih daripada 600 atlet yang terdiri daripada setiap 14 negeri sejurus beberapa sukarelawan yang terpilih untuk membantu melancarkan lagi majlis tersebut dan acara SOPMA yang berlangsung pada 3 hingga 7 Disember.

Menariknya, pasaraya besar AEON BiG telah bersetuju untuk menjadi penaja utama sepanjang temasya itu berlangsung dan Pengarah Urusannya, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed turut menghadiri majlis perasmian tersebut.

Persatuan Orang Pekak Malaysia sekali gus memberi pengiktirafan buat pihak AEON BiG kerana mereka telah membuktikan bahawa pasaraya besar yang terkenal ini bukan sahaja mementingkan perniagaan, malah sentiasa membantu komuniti dan menjalankan tanggungjawab sosial serta kemasyarakatan terhadap golongan kurang bernasib baik seperti orang pekak.

Pada masa yang sama, Sheikh Farouk sendiri menyatakan bahawa 2023 merupakan tahun penting buat pasaraya tersebut mengekalkan konsentrasi terhadap bidang sukan dan tidak mengira etnik, bangsa dan agama.

“Hal ini kerana, kami sedar sukan adalah salah satu perkara yang akan menyatukan komuniti.

“Tatkala Presiden Tuan Ong Shin Ruenn datang bertemu saya untuk memohon bantuan buat persatuannya, saya dengan tidak keberatan terus bersetuju untuk bersama-sama membantu menjayakan SOPMA 2023 ini.

“Penajaan ini bukan sekadar daripada pihak AEON BiG sahaja, tetapi kita juga membabitkan rakan niaga seperti syarikat bas Maraliner dan sebagainya lagi,” ujarnya dalam sesi sidang media.

Mengulas lanjut mengenai penajaan daripada AEON BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed turut memaklumkan bahawa sukan tanah air amat dekat di hati pihak Pengurusan AEON BiG.

Sehingga kini, AEON BiG telah meluaskan sayapnya dengan menjadi rakan strategik kepada Malaysian Football League, Selangor FC, Terengganu FC, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ketika Pesta Bola Merdeka dan juga Liga Besbol Kebangsaan 2023.