KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) telah menjatuhkan hukuman kepada wakil Thailand, Buriram United selepas didapati bersalah mencetuskan pergaduhan selepas berakhir perlawanan Liga Juara-Juara AFC (ACL) menentang Zhejiang FC November lalu, menurut laman Asean Football.

Dalam aksi yang berkesudahan Buriram United tewas 2-3 kepada wakil China itu, tiga pemain, Ramil Seydayev, Leon James, dan Chitipat Tanklang telah digantung masing-masing enam hingga lapan perlawanan dalam ACL.

Pemain import, Ramil Seydayev dari Azerbaijan didapati bersalah mencetus provokasi dan digantung lapan perlawanan manakala Leon dan Chitipat yang turut terlibat dalam pergaduhan itu digantung enam perlawanan.

Aksi pergaduhan itu menjadi tular di laman sosial dan AFC tidak teragak-agak untuk menjatuhkan hukuman sebagai langkah menjaga kebajikan pemain dan konsep ‘fair play‘ yang sentiasa ditekankan.

Kapten Harimau Malaya, Dion Cools turut terlibat dalam insiden itu namun dia mendapat pujian kerana berjaya menenangkan ramai pemain yang mula campur tangan untuk melindungi rakan sepasukan masing-masing.

Sementara itu, tiga pemain Zhejiang FC, Yao Junsheng, Gao Di dan Leandro serta dua kakitangan pasukan turut digantung kerana terlibat dalam insiden itu.

Kehilangan tiga pemain ini adalah tamparan besar buat Buriram United yang bakal bertemu wakil Jepun, Ventforet Kofu dalam perlawanan terakhir Kumpulan H pada Selasa dengan kemenangan mampu membawa Buriram ke peringkat seterusnya.