KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) mengecam kekecohan yang terjadi pada sidang media jurulatih Iraq, Jesus Casas selepas tewas 2-3 kepada Jordan pada Pusingan 16 Piala Asia 2023 di Stadium Antarabangsa Khalifa, Doha.
Kekalahan ini membuatkan Iraq tersingkir daripada saingan Piala Asia 2023. Selepas ketinggalan menerusi jaringan Yazan Al Naimat, Iraq sempat mendahului 2-1 menerusi jaringan Suad Natiq dan Aymen Hussein.
Bagaimanapun, selepas menjaringkan gol, pengadil Alireza Faghani melayangkan kad merah untuk Aymen Hussein kerana meraikan ‘gerakan makannya’. Selepas kad merah, Iraq melepaskan dua gol kepada Al Arab dan Nizar Al Rashdan.
Dalam sidang media selepas perlawanan itu, jurulatih Iraq, Jesus Casas hampir diserang wartawan tempatan. Nasib baik, pegawai keselamatan berjaga-jaga dan menghalang beberapa wartawan Iraq daripada menyerang Casas.
Bagaimanapun, kejadian itu membuatkan AFC bertindak balas dengan segera.
“AFC mengutuk sekeras-kerasnya semua jenis tingkah laku yang tidak terkawal dan agresif serta tidak bertolak ansur dengan tindakan tersebut,” kata kenyataan AFC pada Selasa.
Iraqi Press ATTACK Jesus Casas after Iraq lose to Jordan in the last minute.
Chaos in the conference room.#AsianCup2023 pic.twitter.com/wHXONVS3fY
— InsideWorldFootball (@InsideWorldFoo1) January 29, 2024
“Kami percaya dalam mewujudkan persekitaran di mana wartawan boleh melibatkan diri dalam kerja penting mereka meliputi bola sepak Asia dengan profesionalisme dan saling menghormati,” tambah AFC.
Kemarahan wartawan Iraq dikatakan berpunca daripada larangan Jesus Casas memberi temu bual dengan media tempatan dan bercakap kepada media Sepanyol menjelang perlawanan menentang Jordan.
Kekecohan yang berlaku pada sidang media Jesus Casas mendorong AFC menghukum mereka yang dianggap menyebabkan rusuhan itu.
“AFC amat kecewa dengan tindakan yang dilihat semasa sidang akhbar selepas perlawanan antara Iraq dan Jordan dan telah mengambil keputusan pantas untuk mengharamkan individu yang bertanggungjawab untuk membuat liputan bukan sahaja Piala Asia Qatar 2023 tetapi juga kejohanan AFC akan datang.
“Akreditasi adalah keistimewaan yang memikul tanggungjawab untuk mematuhi piawaian etika, dan sesiapa yang melanggar piawaian ini akan menghadapi akibatnya,” sambung AFC.
AFC berharap hukuman yang diberikan kepada mereka yang dianggap mencetuskan kekecohan pada sidang media Jesus Casas dapat dijadikan pengajaran penting kepada semua pihak.
Tambahan pula, AFC turut mengulas isu pengadil Alireza Faghani diganggu di media sosial selepas Iraq tersingkir daripada Piala Asia 2023.
“Secara berasingan, sementara AFC tidak mengulas mengenai prestasi pengadil individu, kami mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk ancaman, gangguan atau pendedahan maklumat peribadi yang menyasarkan pengadil, pemain, pegawai dan semua pihak berkepentingan kami.
“Tingkah laku sedemikian bertentangan dengan semangat permainan adil dan rasa hormat yang kami promosikan dalam komuniti bola sepak Asia,” kata AFC.