KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) sebentar tadi telah mengumumkan Qatar sebagai tuan rumah Piala Asia 2023.
Malaysia merupakan salah satu daripada 24 pasukan bertanding selepas skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon layak ke pusingan akhir itu selaku naib juara Kumpulan E saingan kelayakan di Bukit Jalil, Jun lalu.
Perkembangan ini juga diumumkan sendiri oleh Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA) di Twitter pada Isnin.
Ia sekaligus mengenepikan tawaran negara lain seperti Indonesia, Korea Selatan dan Australia yang juga berminat menjadi tuan rumah kejohanan.
“Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Bola Sepak Asia hari ini telah mengesahkan bahawa Qatar akan menjadi tuan rumah Piala Asia 2023,” kata AFC dalam satu kenyataan.
Ini bermakna Qatar akan menganjurkan dua kejohanan utama dalam tempoh setahun, selepas yang pertama ialah Piala Dunia 2022 dari 21 November hingga 21 Disember. Piala Asia 2023 dijadualkan berlangsung pada Januari 2024.
Qatar sendiri merupakan penyandang juara Piala Asia selepas menewaskan Jepun 3-1 dalam perlawanan akhir di Emiriah Arab Bersatu tiga tahun lalu. Ini adalah kali ketiga negara kaya minyak itu menjadi tuan rumah Piala Asia selepas 1998 dan 2011.