JARINGAN menakjubkan daripada Seko Fofana memastikan tuan rumah, Ivory Coast mencatat kemenangan 2-0 ke atas Guinea-Bissau dalam perlawanan pembukaan Piala Negara-negara Afrika (AFCON) 2023 pada Ahad.
Dua jaringan daripada Seko Fofana dan Jean-Philippe Krasso pada setiap babak cukup untuk menggembirakan puluhan ribu penyokong yang menbanjiri Stadium Alassane Ouattara untuk kelebihan awal buat juara dua kali itu.
Fofana, yang bermain bersama-sama Cristiano Ronaldo di kelab Al Nassr melepaskan rembatan kaki kanan yang padu pada minit keempat perlawanan untuk memastikan momentum awal kejohanan menjadi milik Ivory Coast.
FULL-TIME!
One goal in each half mean the hosts secure the first 3 points of the tournament. 🇨🇮#CIVGNB | #TotalEnergiesAFCON2023 pic.twitter.com/EOD6H8UoEj
— CAF (@CAF_Online) January 13, 2024
Pemain tengah itu ternyata mempamerkan aksi memukau apabila sekali lagi hampir menggandakan kelebihan Ivory Coast 10 minit sebelum tamat babak pertama tetapi rembatannya berjaya ditepis keluar penjaga gol Guinea-Bissau, Oupaine Djoco untuk kedudukan 1-0 kekal hingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Ivory Coast menggandakan kelebihan pada minit ke-58 selepas menjaringkan gol menarik selepas bijak memperdayakan dua pertahanan Guinea-Bissau sebelum merembat melepasi kawalan Djoco.
Skuad Guinea-Bissau bagaimanapun memberikan tentangan hebat dengan Mama Balde, Franculino Dju dan Junior Ze Turbo seringkali mengancam kubu Ivory Coast namun dikecewakan kelemahan penyudah dan ketangkasan penjaga gol.
Ivory Coast yang mencari kejuaraan benua ketiga selepas 1992 dan 2015 mendominasi keseluruhan perlawanan dan kemenangan ini pastinya meningkatkan motivasi mereka dalam percubaan untuk muncul juara kali ketiga.
Dua lagi pasukan dalam Kumpulan A bersama-sama Ivory Coast dan Guinea-Bissau adalah Nigeria dan Equatorial Guinea dengan kedua-dua pasukan bakal bertemu pada 15 Januari di stadium yang sama.