SEPAKAN penalti minit akhir yang disempurnakan Mohamed Salah menyelamatkan maruah Mesir dari dimalukan Mozambique apabila kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam aksi Kumpulan B, Piala Negara-negara Afrika yang berlangsung di Abidjan, Ivory Coast.

Mesir, juara tujuh kali kejohanan benua itu dilihat bergelut meskipun mendahului seawal minit kedua menerusi Mostafa Mohamed untuk menewaskan pasukan yang menyertai Afcon buat kali pertama dalam 14 tahun.

Mozambique, pasukan di ranking ke-111 dunia menyamakan kedudukan menerusi tandukan cantik Witi yang menyaksikan yang disambut dengan penuh kegembiraan oleh para penyokong.

Berselang dua minit, bangku simpanan Mozambique meledak kegembiraan dengan rasa tidak percaya apabila Clesio Bauque menambah jaringan kedua untuk memberikan kelebihan sehingga berakhir babak pertama.

Mesir menyerang sepanjang babak kedua untuk mencari gol penyamaan dengan Salah terlepas beberapa peluang terbaik selain disiplin bertahan yang ditunjukkan oleh pertahanan Mozambique sepanjang perlawanan.

Hajat Mozambique untuk mencipta kejutan tidak kesampaian apabila Mesir dihadiahkan sepakan penalti selepas Mostafa Mohamed dijatuhkan yang memerlukan campur tangan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Selepas pemeriksaan VAR yang panjang, pengadil mengesahkan sepakan penalti yang mudah disempurnakan Salah untuk mengikat kedudukan tetapi keputusan ini tidak menggambarkan prestasi sebenar Mesir sebagai calon juara.

Sementara itu dalam satu lagi aksi Kumpulan B, Cape Verde menewaskan satu lagi gergasi Afrika, Ghana 2-1 sekaligus mendahului carta manakala Nigeria pula diikat Equatorial Guinea 1-1 dalam aksi Kumpulan A yang menyaksikan satu lagi kejutan berlaku dalam Afcon 2023.