JAGUH pecut para negara, Afiq Ali Hanafiah mahu menempuh ranjau berduri bagi mendapatkan slot ke Sukan Paralimpik Paris 2024 meskipun peluangnya agak tipis.
Baharu pulih dari kecederaan koyak tisu (bawah) belakang, mungkin akan terus menghantui persiapannya namun dia nekad mahu menampilkan yang terbaik sebaik menyertai kejohanan di Thailand, Januari nanti.
“Untuk ke Paralimpik nampak sedikit sukar kerana perlu layak secara merit. Maksudnya kalau Afiq boleh buat 10.09 saat (s) ke bawah, Afiq boleh pergi ke Paralimpik Paris 2024 secara merit. Tapi untuk buat catatan itu mungkin sedikit sukar kerana baru pulih dari kecederaan.
Begitupun, Afiq akan buat comeback sebab sebelum ini pun pernah mengalami kecederaan dan mampu bangkit dengan PB (rekod peribadi) terbaik.
“Lagi pun saya belum pernah sampai lagi ke kejohanan tertinggi (Paralimpik), paling tinggi sebelum ini pun di kejohanan dunia tapi tak dapat masuk ke final,” katanya, yang enggan menunggu empat tahun lagi jika terlepas slot ke Paralimpik Paris 2024.
Tambahnya, kecederaan yang dialami sebelum ini turut menyebakan dirinya terlepas untuk beraksi di Sukan Para Asia 2022 Hangzhou kerana harus menjalani proses pemulihan.