SAINGAN Liga MBSB Bank Championship 2024-25 akan bertambah menarik apabila pengelola liga, Amateur Football League (AFL) mengesahkan pasukan-pasukan beraksi dibenarkan menggunakan khidmat pemain import.
Bagaimanapun Pengerusi AFL, Datuk Yusoff Mahadi menerusi satu siaran media memaklumkan penggunaan khidmat pemain import itu mestilah berdasarkan garis panduan dan peraturan yang telah ditetapkan.
Antaranya, setiap pasukan hanya boleh menggunakan maksimum dua pemain import berusia 18 hingga 21 tahun sahaja serta perlu menyediakan deposit enam bulan gaji.
Selain itu, pemain-pemain import yang didaftarkan ini hanya boleh digunakan oleh pasukan-pasukan dalam liga ini sehingga mereka berusia 23 tahun sahaja dan perlu dilepaskan sekiranya tidak mendapat tempat dalam mana-mana pasukan Liga Super atau Piala MFL.
Pengenalan pemain import ini bertujuan untuk meningkatkan nilai komersil saingan yang kini memasuki edisi kedua penganjuran pada tahun ini.
Namun begitu, AFL tidak memberi tekanan kepada mana-mana pasukan untuk mendaftarkan pemain import kerana ianya bersifat tidak wajib dan bergantung kepada kedudukan kewangan masing-masing.
“Keputusan membenarkan khidmat pemain import ini akan memberi pendedahan awal kepada semua pasukan MBSB Championship yang mempunyai peluang untuk dipromosikan ke Liga Super pada musim hadapan.”
“Ianya juga boleh merapatkan jurang apabila bertembung dengan pasukan Liga Super di ‘cross-over competition’ seperti Piala FA dan Piala Malaysia,” jelasnya.
Terdahulu, AFL telah memaklumkan sebanyak sembilan buah pasukan telah mengesahkan penyertaan dalam saingan musim 2024-25.