AMATEUR Football League (AFL), pengendali liga tier ketiga negara, Liga MBSB Bank Championship sedang dalam perbincangan dengan pelbagai pihak untuk meningkatkan nilai komersil liga bagi memastikan ianya lebih menarik selepas kejayaan musim 2023 yang menyaksikan Imigresen FC muncul juara pada hari terakhir perlawanan.

Pengerusi AFL, Datuk Wira Mohd Yusuff Mahadi turut gembira dengan perjalanan liga sepanjang musim 2023 dan berterima kasih kepada penaja utama yang menunjukkan komitmen untuk menaikkan mutu liga yang kini semakin mendapat tempat dikalangan para pemain.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan perjalanan liga musim ini dengan semua pasukan memberikan komitmen yang baik ditambah pula penentuan juara ditentukan pada hari terakhir perlawanan yang menambah debaran.

“Kita lihat pihak penaja datang dengan tujuan jangka panjang dan kami perlu titik beratkan untuk beri pulangan semula kepada penaja.

“Liga MBSB Bank Championship kini sudah menjadi liga tier kedua dan kami perlu fikir bagaimana hendak tingkatkan kualiti liga supaya ia mendatangkan nilai kepada liga sama ada dengan pemain yang lebih baik termasuk pemain import dan mendapatkan hak penyiaran,” katanya ketika ditemui di Majlis Penyerahan Trofi Liga MBSB Bank Championship kepada Imigresen FC.

Yusuff juga mengesahkan kalendar Liga MBSB Bank Championship musim depan akan mengikut liga yang dijalankan oleh Malaysia Football League (MFL) bagi memastikan keseragaman terutama dari segi jendela perpindahan dan juga pertandingan Piala FA, Piala Malaysia dan Challenge Cup.

“Oleh kerana kita kini liga kedua, kita akan ikut apa perubahan yang MFL lakukan kerana kita mahu jendela perpindahan itu sama dan selaras dengan semua kejohanan yang dijalankan oleh MFL,” tambahnya.

AFL meraikan kejayaan Imigresen FC pada majlis khas untuk menerima piala kejuaraan, pingat dan juga wang tunai bernilai RM100,000 yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib di Petaling Jaya.