KUALA Kangsar BRM FC sah menarik diri dalam dalam saingan MBSB Bank Championship 2023 selepas mengharungi sembilan perlawanan.
Pengerusi Amateur Football League (AFL), Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan perkara ini selepas menerima surat makluman penarikan diri dari kelab yang berpengkalan di Kuala Kangsar itu.
“Kuala Kangsar BRM FC (KK BRM FC) telah secara rasmi menarik diri dari saingan MBSB Bank Championship menerusi surat yang dihantar kepada AFL pada 19 Jun 2023.
“Kita telah berusaha untuk berbincang dan cuba membantu KK BRM FC dalam menangani masalah yang dihadapi namun pihak pengurusan kelab telah nekad dengan keputusan mereka.
“AFL menerima dan menghormati keputusan tersebut dengan berat hati dan susulan penarikan diri KK BRM FC, semua perlawanannya dibatalkan serta dianggap tidak sah termasuklah semua mata dan gol yang telah dimainkan sebelum penarikan diri secara rasmi KK BRM FC,” katanya.
Tambah Mohd Yusoff, rentetan penarikan diri KK BRM FC, perjalanan MBSB Bank Championship 2023 akan diteruskan mengikut perancangan sedia ada.
“Mengenai tindakan yang bakal dikenakan keatas KK BRM FC, keputusan rasmi akan ditentukan selepas Ahli Lembaga Pengarah AFL bermesyuarat dalam masa terdekat,” katanya.