HASRAT Kinabalu Jaguar FC membawa bekalan selesa pada pusingan kedua suku akhir Liga M3 2022 tidak kesampaian apabila diikat 2-2 Kuala Lumpur Rovers FC dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Likas, Kota Kinabalu sebentar tadi.

Bagaimanapun, tuan rumah bermula rancak dengan menggegar jaring seawal minit ketiga oleh jaringan Mohd Azwan Fattah dan disusuli jaringan tambahan menerusi Leopold Alfonso Otong hujung babak pertama.

Namun, pelawat segera bangkit dan berjaya melakar kebangkitan untuk memperoleh dua gol di babak kedua bagi memadamkan agregat awal Kinabalu Jaguar.

Sementara itu, aksi melibatkan Armed Forces FC dan BRM FC di Stadium ini MINDEF, Kuala Lumpur akan disambung esok, pukul 9 pagi gara-gara hujan lebat dan pengadil memutuskan menghentikan permainan.

Perlawanan esok akan disambung 45 minit separuh masa kedua dengan Armed Forces miliki kelebihan dua gol yang disumbat pada babak pertama.

Lain-lain keputusan menyaksikan Manjung City FC terikat seri tanpa jaringan bertemu PIB FC manakala Imigresen FC tumpas 1-2 kepada Harini FT.