AMATEUR Football League (AFL) menerusi Ketua Pegawai Operasinya, Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad mengesahkan pihaknya ada menerima permohonan daripada Kelantan FC untuk bersaing di Liga MBSB Bank Championship 2024-25 selepas tidak dibenarkan beraksi di Liga Super.

Terdahulu, Malaysian Football League (MFL) menerusi First Instance Body (FIB) tidak memberikan lesen kebangsaan buat Kelantan FC selepas tidak mematuhi pelan kewangan yang diperlukan serta tidak menyertakan dokumen-dokumen sokongan sekali gus tidak layak beraksi di Liga Malaysia musim 2024-25.

“Tidak dinafikan yang kita ada menerima permohonan rasmi daripada Kelantan FC pada 7 Januari lalu untuk beraksi di Liga MBSB Bank Championship tetapi fokus kami ketika ini adalah kepada 14 pasukan yang layak secara merit.

12 pemain Liga MBSB Bank Championship berlepas ke Wolverhampton untuk latihan bersama-sama Wolverhampton Wanderers FC

“Kita akan lihat dan perhalusi permohonan ini dan jika ada berlaku penarikan diri dari 14 pasukan ini mungkin ada ruang buat pasukan Kelantan beraksi di liga tier kedua Malaysia ini,” katanya.

Meskipun sudah menghantar permohonan, namun pihak AFL akan merujuknya terlebih dahulu kepada MFL dan FAM bagi memastikan tidak ada sekatan lain yang mungkin boleh menjejaskan imej Liga MBSB Bank Championship pada masa akan datang.

“Kelantan juga akan dikenakan syarat yang sama seperti pasukan lain tetapi mereka akan dikenakan syarat tambahan seperti Sarawak United sebelum ini dan buat masa ini kami tidak boleh sahkan keputusan ini lagi.

“Ini kerana kita akan merujuk dahulu kepada MFL dan FAM mengenai pasukan ini yang mana mungkin ada sekatan lain dan ianya juga menunjukkan yang bukan mudah untuk mereka layak secara merit begitu sahaja,” jelasnya.

AFL mahu mengekalkan 14 pasukan dalam liga musim ini dengan melihat 16 pasukan sebagai maksimum tetapi segalanya tertakluk kepada keadaan dan semuanya akan diumumkan pada awal Mac 2024 sebelum liga berlangsung bermula 3 Mei 2024 hingga 19 Januari 2025.