PEMAIN pertahanan Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar sedar bahawa skuad Gergasi Merah sering dibolosi dan dia mahu memperbaiki mutu perlawanan untuk membantu Selangor FC mendapat lebih banyak ‘clean sheet’ pada pusingan kedua Liga Super.

Dia yang sering bergandingan dengan Yazan Al-Arab di bahagian pertahanan tengah kini dilihat semakin serasi beraksi namun dia menyatakan masih banyak ruang yang perlu diperbaiki bagi memantapkan lagi pasukan.

Namun bagi pemain yang mesra disapa Afro itu, dia melihat rakan-rakan sepasukannya sudah menunjukkan peningkatan dalam permainan dan mencatatkan keputusan yang lebih baik berbanding tahun-tahun sebelum ini.

“Kita tahu kita sering dibolosi tetapi pada saya ianya lebih baik dari sebelum ini. Saya rasa kami perlu perbaiki lagi dari segi bertahan dan harap barisan pertahanan dapat lakukan yang terbaik untuk dapatkan ‘clean sheet’ pada perlawanan selepas ini.

“Jika dilihat tahun ini lebih baik dari sebelum ini dan kami perlu kekalkan prestasi untuk dapat kemenangan kerana ianya akan menaikkan lagi moral para pemain namun masih banyak lagi yang perlu kami perbaiki dari setiap bahagian untuk memantapkan lagi pasukan ini,” katanya ketika ditemui Flash Sukan.

 

Berdasarkan statistik, Selangor FC telah dibolosi sebanyak 13 gol sepanjang 12 perlawanan Liga Super dengan hanya berjaya mencatat empat ‘clean sheet’ ketika bertemu Kelantan United FC, Kelantan FC, Kuching City FC dan Perak FC