EMPAT pasukan – Terengganu FC, Terengganu FC II, Kedah Darul Aman FC dan Penang FC bakal menguji kekuatan masing-masing dalam kejohanan empat penjuru yang berlangsung di Kuala Terengganu dari 17 hingga 21 April 2024.

Kejohanan ini adalah sebahagian daripada persiapan pramusim pasukan menjelang sepak mula Liga Malaysia pada 10 Mei 2024 dengan kesemua pasukan akan menggunakan kesempatan ini untuk mencari gabungan terbaik dan membentuk keserasian antara pemain.

Dua venue akan digunakan dengan tuan rumah, Terengganu FC akan beraksi dalam ketiga-tiga perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin manakala Kedah, Penang dan Terengganu FC II akan menggunakan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sebagai gelanggang.

Skuad kendalian Tomislav Steinbruckner akan membuka tirai saingan menentang Penang FC pada 17 April sebelum bertemu Kedah pada 19 April dan TFC II pada 21 April dengan ketiga-tiga aksi berlangsung pada jam 9 malam.

Terengganu yang dilihat bakal muncul antara sebagai pencabar terkuat Liga Super sudah pasti mahu menggunakan tiga aksi ini terutama menentang Kedah dan Penang sebagai medan untuk mempersiapkan pasukan dan memberikan keyakinan kepada para penyokong setia.

KDA FC yang masih dilanda pelbagai masalah terutama kewangan pula mahu menggunakan kejohanan ini sebagai tempat terbaik menguji pasukan dengan kehadiran ramai muka baharu terutama pemain import dalam skuad Nafuzi Zain kali ini.

Terengganu FC berpeluang bentuk skuad mantap di kejohanan empat penjuru

Penang FC dibawah kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli juga mahu menilai prestasi kesemua pemain dalam aksi pramusim ini sebelum membuat keputusan siapakah yang bakal menjadi kesebelasan utama.

Buat para penyokong, aksi empat penjuru ini pasti akan menjadi pengubat rindu menonton perlawanan bola sepak selepas liga berehat panjang ekoran perubahan jadual liga untuk diselaraskan mengikut kalendar Fifa dan AFC.

Berikut adalah jadual Kejohanan Agarbomb Performance Cup 2024

17 April 2024 (9 malam)

Terengganu FC lawan Penang FC – SSMZA

Terengganu FC II lawan Kedah Darul Aman FC – SSINS

19 April 2024 (9 malam)

Terengganu FC lawan Kedah Darul Aman FC – SSMZA

Terengganu FC II lawan Penang FC – SSINS

21 April 2024 (9 malam)

Terengganu FC lawan Terengganu FC II – SSMZA

Kedah Darul Aman FC lawan Penang FC – SSINS