YANG di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan kata-kata semangat kepada kontinjen negara ke Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024, supaya mencapai pencapaian cemerlang di temasya itu.
“Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada semua atlet-atlet negara yang akan bertanding pada Sukan Olimpik 2024.
“Bersama-sama kita mendoakan kecemerlangan buat atlet yang mewakili negara ke temasya Olimpik dan Paralimpik,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO).
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong berkenan berangkat menyempurnakan majlis penyerahan Jalur Gemilang kontinjen Malaysia ke temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024 di Istana Negara, hari ini.
Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria; dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shariman.
Turut memeriahkan, Ketua, Setiausaha KBS, Dr Nagulendran Kangayatkarasu; serta Chef de Mission (CDM) Sukan Olimpik Paris, Datuk Hamidin Mohd Amin; dan CDM Paralimpik, Datuk Subramanian Raman Nair.
Pada temasya Olimpik Paris nanti, seramai 26 atlet negara yang akan mengambil bahagian setakat ini, manakala sukan paralimpik pula melibatkan seramai 20 atlet.
Sukan Olimpik Paris 2024 akan membuka tirai pada 26 Julai hingga 11 Ogos 2024 dan sukan Paralimpik akan bermula 28 Ogos hingga 8 September 2024.