YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin atas kejayaan beliau dipilih sebagai Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi penggal 2023-2027.
Menurut kenyataan rasmi Istana Negara pada Khamis, Seri Paduka Baginda rasa sukacita dan bangga di atas kejayaan Hamidin dan menyifatkan ianya sebagai satu pengiktirafan kepada beliau dan juga kepada FAM serta negara.
Selain itu, ianya juga sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan individu yang berkualiti, berkaliber dan bertaraf antarabangsa.
“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan keyakinan bahawa Hamidin dengan berbekalkan keupayaan dan pengalaman luas beliau mampu menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Majlis FIFA dengan jayanya. Baginda turut yakin bahawa beliau akan membawa suatu nafas baru kepada sukan bola sepak dunia dan negara.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Dato’ Haji Hamidin dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan,” menurut kenyataan itu.
Hamidin dalam pemilihan yang dilakukan pada Kongres Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) ke-33 yang berlangsung di Manama, Bahrain pada Rabu.
Beliau telah mendapat 30 undian sekali gus membolehkan beliau mengisi lima kerusi ahli majlis badan induk bola sepak antarabangsa itu daripada tujuh calon yang bertanding.