PENYERANG kebangsaan, Sergio Aguero berasa bangga dengan pencapaian Harimau Malaya dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 meskipun tidak berjaya melayakkan diri ke pusingan kelayakan Piala Dunia yang seterusnya.
Baginya, untuk mendapatkan 10 mata dalam satu kumpulan yang mengandungi dua pasukan yang berada di ranking 100 terbaik dunia bukannya senang dan ia menunjukkan progress yang baik oleh Harimau Malaya.
“Ia memang menyedihkan apabila kita tidak dapat melayakkan diri ke pusingan seterusnya tetapi ini adalah bola sepak.
“Tetapi jika kita melihat daripada sisi positif, kami telah melakukan dengan baik sepanjang pusingan kelayakan ini.
“Untuk mendapatkan 10 mata dalam kumpulan yang mengandungi dua pasukan yang menduduki ranking 100 terbaik dunia bukanlah satu perkara yang mudah.
“Jika anda melihat pasukan lain, mereka berjaya memasuki pusingan seterusnya dengan lapan atau sembilan mata sahaja tetapi kami telah mencapai 10 mata,” katanya kepada media selepas perlawanan.
Aguero juga menegaskan bahawa setiap pemain Harimau Malaya telah memberikan yang terbaik dalam perlawanan semalam.
“Kemenangan kami masih lagi tidak mencukupi kerana perbezaan gol yang sangat besar.
“Setiap permainan amat sukar untuk dimainkan dan ia tidak mudah untuk menang dengan jaringan tujuh atau lapan gol seperti yang kami katakan sebelum perlawanan.
“Tentu saja kami mahu menang serta melayakkan diri ke pusingan seterusnya, setiap pemain Malaysia telah berusaha sebaik mungkin untuk memberikan yang terbaik sepanjang perlawanan malam ini.
Malaysia kini perlu menghadapi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 yang dijangka akan bermula pada bulan Mac 2025.