PEMAIN naturalisasi negara, Sergio Aguero menyatakan dia sangat teruja untuk kembali menyarung jersi Harimau Malaya selepas tersisih hampir setahun dan sedia memberikan khidmatnya dalam Kejohanan Asean Mitsubishi Electric pada Disember.

Aguero yang kini cemerlang bersama Sri Pahang FC di Liga Super kembali dipanggil Pau Marti Vicente dan dia sudah bersedia untuk memberikan aksi terbaik sekiranya diberikan peluang dan secara peribadi mahu pulang dengan dua kemenangan dari dua perlawanan ini.

“Ya saya sentiasa berharap dapat berada dalam skuad negara, jadi saya akan buat yang terbaik untuk skuad negara dalam aksi persahabatan supaya dapat terus dikekalkan dalam skuad untuk ke Piala ASEAN nanti kerana saya mendapat peluang bermain di kejohanan itu sebelum ini dan sangat gembira.

Sergio Aguero teruja kembali ke skuad kebangsaan

“Sasaran peribadi saya kali ini adalah membawa pulang dua kemenangan. Ini sangat penting buat pasukan dan juga sebagai hadiah buat para penyokong yang mana saya sangat teruja,” katanya ketika ditemui sebelum berangkat ke Bangkok.

Aguero yang bakal merebut tempat di bahagian tengah juga gembira melihat lebih ramai muka-muka baharu dipanggil dalam skuad kali ini dan dia mahu menjadi ‘role model’ yang baik buat mereka terutama ketika sesi latihan.

“Gembira melihat ramai muka baharu dan seperti di Sri Pahang, saya sering memberikan kata-kata semangat buat mereka bagi memastikan pemain-pemain muda ini dapat memberikan aksi terbaik sekiranya diberikan peluang bermain,” jelasnya.

Aguero mahu menjadi ‘role model’ terbaik buat pemain-pemain muda negara

Skuad Harimau Malaya berlepas ke Bangkok, Thailand untuk aksi persahabatan bertemu Laos sebelum ke Hyderabad untuk berhadapan India dalam satu lagi perlawanan sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Piala ASEAN Mitsubishi Electric pada Disember 2024 dan Kelayakan Piala Asia 2027 yang bermula Mac 2025.