MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu merakamkan ucapan tahniah kepada Ng Eain Yow dan S Sivasangari yang merangkul gelaran juara lelaki dan wanita Kejohanan Skuasy Kebangsaan 2022 di Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil, pada Ahad.
“Syabas pemain skuasy kebangsaan, Ng Eain Yow & @sangari_99 ,” tulis ciapan itu menerusi Twitter.
S Sivasangari, pemain ranking ke-19 dunia mengatasi Aifa Azman 3-1 pada aksi final dengan kemenangan 12-10, 9-11, 11-6 dan 11-9 dalam masa 33 minit.
Ini adalah gelaran keduanya selepas muncul juara buat julung kali pada edisi 2018.
Dalam kategori lelaki, Ng Eain Yow mencipta sejarah tersendiri apabila meraih gelaran kebangsaan pertamanya selepas melakar kemenangan cemerlang 3-0 ke atas juara empat kali Ivan Yuen.
Pemain berusia 24 tahun itu memerlukan 24 minit untuk menang 11-6, 11-3 dan 11-2 sekali gus meletakkan namanya sebaris jaguh handalan skuasy negara yang pernah dinobatkan juara kejohanan itu.