MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) menzahirkan tahniah kepada Datuk Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin, selepas dilantik semula sebagai Naib Presiden Persatuan Kriket Malaysia (MCA) semasa Mesyuarat Agung Tahunan ke-33 di Hotel Premiere, Klang pada Ahad.
Ahmad Feisal yang juga Bendahari MOM dilantik semula sebagai Naib Presiden MCA untuk penggal kedua dari 2023 hingga 2025 selepas berkhidmat untuk penggal pertama dari 2021 hingga 2023.
“Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin merupakan salah seorang pemain kriket yang hebat kerana telah dipilih mewakili pasukan negeri Kedah dan pasukan kebangsaan semasa zaman mudanya.
“Selepas bersara, beliau terus menyumbang ke arah pembangunan kriket di peringkat akar umbi selama bertahun-tahun sebelum dipilih sebagai Presiden Persatuan Kriket Kedah dari 2008 hingga sekarang,” menurut kenyataan itu.
Beliau juga telah dipilih sebagai Bendahari Kehormat MCA selama empat penggal dari 2008 hingga 2015. Semasa berkhidmat dengan MCA, beliau pernah berkhidmat sebagai pengurus pasukan untuk Pasukan Kriket Kebangsaan ke pelbagai kejohanan antarabangsa termasuk Sukan Asia Ke-17 Incheon 2014.
Sementara itu, Mohammed Iqbal Ali Kassim Ali telah dipilih semula sebagai Presiden MCA dan Conrad Young Wye King dipilih semula sebagai Setiausaha Kehormat MCA.