KHIDMAT ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun dijangka disambung setahun lagi, selepas Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) memberi bayangan bahawa jurulatih itu menghadirkan keputusan positif tahun ini.
Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, pihaknya menyifatkan Ahmad Jais telah menjalankan tugas dengan bagus dan menganggap komen-komen luar terhadap tugasan seorang jurulatih adalah perkara sangat biasa.
“Prestasi (Ahmad Jais) bagus, ada komen positif dan negatif, itu perkara biasa dalam tugas seorang jurulatih. Ini adalah proses untuk biasakan dengan kaedah, karenah pemain dan sebagainya untuk sesuaikan diri.
“Kita akui, Ahmad Jais ada perancangannya yang tersendiri untuk memperbaiki kelemahan yang ada (dalam skuad kebangsaan). Kita akan umumkan perancangannya nanti,” kata Sumali ketika ditemui.
Ahmad Jais yang juga bekas tekong kebangsaan dan pernah meraih pingat emas Sukan Asia Hiroshima 1994 dilantik sebagai ketua jurulatih skuad sepak takraw kebangsaan pada Februari lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, Sumali mengesahkan sedang mempertimbang melantik seorang lagi jurulatih dari luar negara, yang fokus kepada acara beregu.