MALAYSIA mengekalkan seorang wakil dalam tampuk kepimpinan utama Kesatuan Penulis Sukan AIPS Asia bagi penggal 2022 hingga 2026.

Ia menyaksikan bekas Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Ahmad Khawari Isa dipilih pertahankan jawatan Naib Presiden dalam pemilihan Kongress Tahunan Kali ke-26 yang di adakan di Rom, Itali pada Selasa.

Ahmad Khawari, 50 dipilih bersama empat lagi calon dari India, Kuwait, Qatar dan Iran.

“Saya gembira kerana Malaysia terus diberikan mandat untuk bersama dalam kepimpinan AIPS Asia kerana saya percaya Malaysia mampu memainkan peranan dengan di dokong sokongan padu rakan-rakan kepimpinan SAM,” katanya.

Pada pemilihan itu, Naib Presiden AIPS Asia, Jung Hee Don dipilih sebagai Presiden baharu tanpa bertanding.

Pemilihan itu turut menyaksikan wakil Pakistan, Amjad Malik Aziz mengisi jawatan Setiausaha Agung manakala Bendahari disandang Niranjan Rajbanshi dari Nepal.

Lapan kerusi Exco pula diisi Oman, Bangladesh, Jepun, Taiwan, Palestin, Yemen, Macau dan Krygystan.

Menurut Ahmad Khawari, agenda utamanya ialan untuk mengendalikan sepenuhnya operasi AIPS Asia di Malaysia.

“Kita akan memainkan peranan besar. Insha Allah kita akan menunaikan matlamat kita untuk membawa ibu pejabat AIPS Asia ke Malaysia untuk mengendalikan operasinya secara keseluruhan,” ujarnya.