DEMAM aksi persahabatan Tier 1 di Terengganu, tambah hangat apabila Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut mengalukan kedatangan skuad bola sepak Harimau Malaya ke bumi Darul Iman.

Menteri Besar Terengganu mengucapkan selamat datang kepada anak buah Kim Pan-gon melalui hantaran di Facebook, sebentar tadi.

“Selamat datang peminat dan pemain skuad Harimau Malaya ke bumi Terengganu Darul Iman sempena perlawanan persahabatan antarabangsa Malaysia menentang Kepulauan Solomon pada 14 Jun 2023 dan Papua New Guinea pada 20 Jun 2023.

“Alhamdulillah, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Gong Badak telah terpilih menjadi tempat perlawanan antarabangsa dan ini satu pencapaian bagi negeri kita.

“Ini bermakna usaha Kerajaan Negeri hari ini membaiki dan membaikpulih stadium ini sejak 2019 telah berjaya sehingga SSMZA menjadi salah satu stadium terbaik yang ada di Malaysia hari ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Selepas bertemu Kepulauan Solomon Rabu ini, skuad negara yang sedang melakukan persiapan untuk mengharungi kejohanan Piala Asia 2023 akan menentang Papua New Guinea di venue sama pada 20 Jun nanti.

Mengikut rekod, pada aksi persahabatan terakhir yang diadakan di Stadium Sultan Ibrahim Mac lalu, skuad Harimau Malaya berjaya mencatat kemenangan 1-0 ke atas Turkmenistan dan Hong Kong (2-0).