TINDAKAN pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA), Aidil Sharin Sahak yang tidak hadir ke sidang media selepas perlawanan KDA dan PJ City semalam mengundang pertanyaan.

Sidang media tersebut dihadiri oleh pembantu jurulatih, Victor Andrag yang menjawab soalan wartawan tentang masalah yang sedang dihadapi Kedah selepas sekali lagi melepaskan pendahuluan awal.

Tindakan merehatkan jurulatih bukanlah perkara baharu dalam senario bola sepak tempatan dengan dua lagi jurulatih asing, Risto Vidakovic dan Tomas Trucha telah menjadi mangsa senario ini dan akhirnya dipecat.

Tetapi mungkin juga jurulatih dari Singapura ini memerlukan masa bertenang sebelum bertemu wartawan kerana dia pasti kecewa skuad kendaliannya melepaskan kelebihan dua gol buat kali kedua berturut-turut.

Sebelum ini pada sidang media selepas tewas kepada Melaka United di Stadium Darul Aman minggu lalu dia kelihatan berang dan tidak mustahil kali ini dia masih belum bersedia berhadapan dengan pihak media.

Bagaimanapun segala spekulasi ini hanya boleh dijawab oleh pihak pengurusan KDA sendiri.

Buat Aidil Sharin, inilah bola sepak.