TAHUN 2024 diharap menjadi tahun kebangkitan buat Aidil Sholeh Ali Sadikin setelah dinaikkan ke skuad senior, hujung tahun lalu.
Menjadikan Kejohanan Thailand Masters sebagai perintis kemajuan kerjayanya, perseorangan lelaki Akademi Badminton Malaysia (ABM) itu, mahu segera meninggalkan impak, selepas berasakan dirinya agak lambat menyertai skuad senior.
Begitupun, pemain diranking ke-90 dunia itu berdepan tugas berat di Bangkok, Thailand, apabila perlu melepasi pusingan kelayakan terlebih dahulu sebelum memasuki undian utama.
Saingan Thailand Masters yang bermula esok (Selasa) itu menyaksikan Aidil diundi menentang Chan Yin Chak dari Hong Kong.
Berdasarkan rekod pertemuan lalu, Aidil memiliki rekod kemenangan ke atas Yin Chak pada pertemuan tunggal di pusingan kelayakan Terbuka Macau 2019 namun rekod itu tidak boleh dijadikan ukuran memandangkan lawannya itu sudah berada di ranking lebih tinggi iaitu ke-72 dunia pada ketika ini.
Justeru, pemain berusia 24 tahun yang sebaya Ng Tze Yong itu perlu pantas memperbaiki kelemahan yang sudah dikenalpasti antaranya daripada sudut keyakinan serta mentaliti terutama ketika berada dalam gelanggang.
“Saya kurang dari segi taktikal dan juga mentaliti. Fizikal dan yang lain itu, semua boleh dikatakan OK tetapi mentaliti, keberanian agak kurang konsisten. Saya tak pasti kenapa, tetapi ia kerap berlaku dan sukar untuk dikawal dalam perlawanan.
“Apapun, saya sudah berusaha terutama dalam latihan supaya lebih fokus dan memperkemas lagi fokus ketika membalas pukulan lawan,” katanya, yang mahu lolos ke pusingan pertama di Masters Thailand.
Dia turut bersyukur kerana kekal dalam skuad negara berkata,: “Saya nak lebih baik dalam setiap kejohanan disertai (2024)… kalau boleh meraih keputusan yang baik dan boleh memenangi kejohanan supaya dapat menaikkan ranking saya dan seterusnya menyertai kejohanan yang lebih tinggi.”
Pada musim lalu, Aidil memenangi Cabaran Antarabangsa Indonesia di Surabaya selepas menewaskan pemain Jepun, Keita Makino 21-14, 21-6.