AIFA Azman menyatakan bahawa dia tidak gentar untuk berhadapan dengan adiknya, Aira Azman, walaupun prestasi permainan Aira semakin meningkat.

Mereka dijadual untuk bertemu di pusingan kedua Terbuka Australia, dengan Aifa mendapat bye dan Aira perlu menumpaskan lawannya di pusingan pertama untuk berhadapan dengan kakaknya.

Aifa mengakui bahawa dia memahami cara bermain dan kelemahan Aira, tetapi ini tidak membuatkan perlawanan antara mereka menjadi mudah, kerana Aira juga mempunyai pengetahuan yang sama tentang permainannya.

“Ia sangat sukar bagi saya sebab adik saya (Aira) dah ada peningkatan yang mendadak dalam permainanya.

“Dia juga tahu kelemahan saya dan baca permainan saya jadi ia sangat sukar untuk kami berlawan antara satu sama lain.

“Tetapi saya masih nak lawan dia sebab kami tak pernah bertemu sesama sendiri dalam kejohanan kompetitif, jadi saya berharap sangat nak bertemu dengan dia untuk pusingan kedua nanti,” katanya ketika berlatih di ibu negara pada Jumaat malam.

Aifa Azman melakukan latihan yang diadakan di Pusat Skuasy Jalan Duta.

Ditanya mengenai persiapan menjelang Terbuka Australia, Aifa menyifatkan kali ini dia lebih bersedia walaupun berlatih di bulan puasa.

“Semasa Windy City Open baru-baru ini, saya kurang fitness sebab baru sahaja kembali daripada kecederaan dan saya cuma berlatih untuk tujuh hingga 10 hari sahaja tetapi saya masih bagi yang terbaik.

“Jadi untuk Terbuka Australia pula, Aifa lebih bersedia sebab dah berlatih secara menyeluruh dan saya berharap dapat lakukan yang terbaik nanti,” tambahnya lagi.

Pemain ranking ke-34 dunia itu juga berharap kejohanan-kejohanan akan datang dapat mengembalikannya ke landasan yang tepat supaya dia boleh menaikkan rankingnya ke tahap yang lebih tinggi.

ARTIKEL BERKAITAN : Ramadan yang mengujakan, Aira tidak sabar ke Terbuka Australia berdepan kakaknya Aifa