BERGELAR atlet tidak jauh bezanya dengan pengorbanan seorang soldadu, pasti akan ada yang merindu atau meletakkan dirinya dalam kerinduan.

Begitulah yang dialami pemain skuasy negara, Aifa Azman, amat merindukan rutin bersama ibunya, setiap kali menjelang lebaran.

Sejak berpindah ke Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) pada usia 16 tahun, tiada lagi rutin membantu ibunya menyiapkan kuih raya sebaik Ramadan menjengah.

Kini, pada usia 23 tahun, dia semakin sibuk menyertai kejohanan di luar negara dan sudah tiga tahun tidak beraya bersama keluarga di kampungnya di Kedah.

Aifa mengakui banyak momen bersama keluarga terlepas sejak bergelar atlet, dalam usaha meniti kerjaya sebagai pemain skuasy.

“Menjelang hari raya ni… paling saya rindukan adalah buat kuih dengan mama kerana mama sering mengambil tempahan dan saya membantunya.

“Mama buat kuih semperit tapi kami panggil bunga Cina yang berwarna putih… kerja saya potong buah ceri dan letak di atasnya.

“Selain itu mama buat juga biskut ‘chocolate square’ yang ini kegemaran keluarga kami, tapi itu dulu laa, sekarang mama tak ambil tempahan lagi, hanya buat untuk keluarga sahaja,” kata Aifa, menceritakan detik kali terakhir dia membantu ibunya menyediakan biskut untuk hari raya ketika berusia 15 tahun.

Sepanjang Ramadan, Aifa tetap berdisiplin menjalani latihan pada sebelah malam.

Aifa juga tertawa kecil apabila mengenangkan buku resipi milik ibunya yang dicatat menggunakan tulisan tangan, perkara yang cukup ‘rare’ di zaman sekarang dan nostalgik buat keluarga mereka.

Dalam kesibukan menjalani latihan di Pusat Skuasy Jalan Duta sepanjang Ramadan ini, Aifa mengakui rindu mahu berhari raya bersama keluarga namun dia dan adiknya Aira mungkin terpaksa berhari raya di Kuala Lumpur kerana giat menjalani persiapan untuk ke Kejohanan Antarabangsa El Gouna di Mesir.

Aifa, Aira, S.Sivasangari dan Rachel Arnold akan beraksi di kejohanan yang akan berlangsung 19 hingga 26 April ini, dan akan berlepas ke Mesir pada 16 April.

Aifa dann Aira Azman berada dalam pasukan wanita yang dianggotai S Sivasangari dan Rachel Arnold, memenangi pingat emas berpasukan wanita di Sukan Asia Hangzhou.

“Apapun saya tetap bersyukur kali ini dapat menjalani ibadah puasa dan ke surau atau masjid kerana seperti tahun-tahun sebelumnya, kami berada di luar negara.

“Tahun lalu, kami berpuasa dan beraya di Ireland, mujur Aira ada bersama-sama saya, tidaklah terlalu sunyi.

“Pada pagi hari raya, ada kawan ayah yang menetap di sana membawa ketupat rendang, tapi kami hanya boleh makan selepas tamat perlawanan hari pertama kejohanan.

“Tiga tahun berturut-turut sehingga tahun lalu, kami berhari raya di luar negara, memang tak terasa suasana,” tambah Aifa.

Sebagai atlet, Aifa Azman akur perlu mengikut jadual pertandingan antarabangsa dan mengetepikan keseoronokan di luar gelanggang.

Pada kejohanan Antarabangsa El Gouna nanti, Aifa akan beraksi di pusingan pertama menentang pemain Mesir Nopur Aboulmakarim yang menghuni ranking ke-43 dunia.

Perkiraan di atas kertas, Aifa memiliki kelebihan berdasarkan rankingnya lebih tinggi (34 dunia) namun kedua-dua pemain belum mempunyai rekod peremuan.

Aira pula akan membuka saingan menentang seorang lagi pemain tuan rumah, Hana Ramadan yang berada di ranking ke-30 dunia.

Sementara Sivasangari yang mendapat bye di pusingan pertama, berdepan tugas getir kerana Hania El Hammamy menantinya di pusingan kedua dan pertemuan antara keduanya pasti berlangsung sengit.

Dalam pada itu, Rachel pula berdepan pencabar getir, Katie Maliff dari England pada pusingan pertama dengan masing-masing memenangi satu perlawanan pada dua pertemuan tahun lalu.