KELANTAN United FC telah memperkenalkan pengendali Brazil, Ailton Dos Santos Silva sebagai ketua jurulatih baharu mereka bagi menghadapi baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia.

Perkara ini disahkan sendiri oleh pengurusan kelab menerusi satu hantaran di media sosial rasmi sekaligus menjawab teka-teki siapakah yang bakal mengendalikan skuad Kijang Hijau selepas jawatan ketua jurulatih dikosongkan Tomas Trucha.

Menurut kenyataan rasmi kelab, pelantikan jurulatih baharu itu adalah untuk mengembalikan semula prestasi kelab pada pusingan kedua Liga Super selepas hanya meraih satu kemenangan pada pusingan pertama.

“Pelantikan jurulatih berusia 56 tahun itu adalah tepat kala pihak pengurusan Kelantan United FC bertekad untuk mengembalikan semula kelab dalam persaingan liga setelah menamatkan pusingan pertama pada kedudukan ketiga terakhir.

“Kelantan United FC adalah kelab ketiga Ailton di Asean dan pengalaman yang ada pada beliau sewaktu mengemudi dua kelab itu diharap dapat menaikkan semula kedudukan Sang Kijang Hijau di persada bola sepak Malaysia,” tulis kenyataan media itu.

Ailton adalah seorang jurulatih berpengalaman yang sudah biasa dengan senario bola sepak Asia Tenggara dan sebelum ini pernah muncul juara liga ketika di Thailand pada 2019 bersama Chiangrai United dan selepas itu berhijrah ke Chiang Mai United pada 2021.

Kelantan United juga mengesahkan Tomas Trucha kini menjawat jawatan ketua jurulatih skuad pembangunan B-23 yang beraksi di Piala MFL dan kerjasama dua jurulatih ini diharap akan memberikan impak kepada kelab dari Kelantan ini.