PENYERANG skuad B-23 tahun kebangsaan Aiman Afif Md Afizul sedar akan kritikan yang dilemparkan penyokong terhadap pasukan dalam kempen kelayakan Piala Asia B-23, namun dia menganggap kritikan itu sebagai dorongan motivasi buat dirinya dan rakan-rakan sepasukan.
Pemain muda Kedah Darul Aman FC itu menganggap kejayaan layak ke peringkat akhir Piala Asia itu sebagai rezeki dan mereka perlu memperbaiki prestasi menjelang aksi sebenar pada April 2024.
“Bagi kami apa yang peminat cakap itu kita ambil ia sebagai satu cabaran dan motivasi. Memang ini bukan mudah untuk kita tapi kita akan cuba buat yang terbaik.
“Bagi saya ini rezeki kita layak ke Piala Asia sekali lagi. Jadi dari situ kita boleh perbaiki kelemahan kita dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini dan lakukan yang terbaik pada kejohanan itu nanti,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejurus tiba dari Bangkok.
Aiman juga menjelaskan bahawa seluruh pasukan baik pemain atau barisan kejurulatihan bertanggungjawab atas prestasi pasukan dan bukannya salah individu kerana mereka bermain sebagai satu pasukan.
“Bagi saya kita main satu pasukan, menang atau kalah kita kena terima dan kita tidak boleh salahkan satu pihak sahaja.” jelasnya.
Malaysia berjaya layak ke Qatar selepas muncul antara empat pasukan tempat kedua terbaik meskipun terpaksa menunggu lama sebelum mengesahkan tempat dalam kejohanan yang melibatkan 16 pasukan itu.