JAGUH mendaki Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Aiman Cahyadi, mencuri tumpuan selepas bergelar Raja Bukit Jelajah Sharjah yang berakhir, pada Rabu.
Pelumba kelahiran Indonesia itu mengumpul 29 mata dalam lima peringkat perlumbaan untuk menyarung jersi merah mengatasi pelumba Maghribi, Oussama Khafi dan Imad Sekkak.
Menurut Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus, pencapaian pasukan nombor satu Asia itu pada Jelajah Sharjah cukup membanggakan dengan mencapai sasaran ditetapkan.
Beliau herkata, TSG juga meraih kedudukan podium melalui pelumba import, Metkel Eyob dan Irwandie Lakasek pada peringkat ketiga dan kelima kejohanan.
“Dua pelumba tersebut menamatkan perlumbaan di tempat ketiga sekaligus menepati sasaran dua kedudukan podium berbanding hanya satu pada edisi tahun lalu.
“Lebih membanggakan apabila Aiman muncul pemenang jersi merah atau Raja Bukit dalam penampilan sulung beliau bersama TSG,” jelasnya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Nasiruddin berkata, wakil TSG turut cemerlang dalam perebutan jersi kuning atau juara keseluruhan menerusi Eyob yang berada di tempat keenam dan Anatolii Budiak, kesembilan.
Menurutnya, TSG bagaimanapun gagal mempertahankan gelaran pasukan terbaik setelah menduduki kedudukan kelima dengan masa keseluruhan 29 jam 31 minit 35 saat.
“Secara keseluruhan kami berpuas hati dengan pencapaian pelumba dalam kejohanan ini. Namun masih ada ruang untuk meningkatkan prestasi pelumba.
“Selain Jelajah Saudi yang sedang berlangsung sekarang, TSG terus giat memburu kutipan mata dalam siri jelajah di Turkiye, Oman dan Rwanda, bulan ini,” tambah Nasiruddin.
ARTIKEL BERKAITAN : Pasukan basikal Terengganu TSG membara hadapi Jelajah Sharjah