JAWATANKUASA Induk Sukan Asian Aichi Nagoya 2026 telah menerima cadangan dari Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) untuk lapan pingat emas bagi acara sepak takraw.
Presiden Astaf, Abdul Halim Kader, menyatakan bahawa pencapaian ini sangat membanggakan bagi Astaf dan anggotanya, yang telah berusaha keras dalam melobi angka pingat dan acara sepak takraw ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
“Ainagoc telah meluluskan lapan acara, termasuk empat bagi kategori lelaki (regu berpasukan, antara regu, beregu, dan kuadran/berempat), tiga bagi kategori wanita (regu berpasukan, beregu, dan kuadran), dan satu lagi untuk kuadran campuran.
“Lapan pingat emas yang ditawarkan ini sudah disahkan oleh Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Aichi Nagoya (Ainagoc) dan hanya memerlukan sokongan Majlis Olimpik Asia (OCA) pada mesyuaratnya dalam tiga bulan akan datang,” kata Abdul Halim, yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf).
Sebelum itu, Abdul Halim Kader bersama Timbalan Presiden dan Timbalan Setiausaha Agung Istaf, Fariq Halim dan Taufiq Halim, telah melakukan lawatan kerja ke Nagoya. Mereka bertemu dengan Presiden dan Setiausaha Agung Persatuan Sepak Takraw Jepun (Jstaf) serta melawat pusat latihan dan dewan pertandingan sepak takraw Sukan Asia dari Ahad hingga Rabu.
Lapan acara dan pingat emas yang menjadi rebutan di venuenya, Stadium Taman Sukan Mizuho, Nagoya, tetap satu rekod baharu dan terbesar dalam sejarah temasya empat tahun sekali ini sejak dipertandingkan dengan hanya dua acara, regu berpasukan dan antara regu lelaki di Beijing 1990.
Kuadran campuran adalah satu-satunya acara baharu pada Sukan Asia Aichi-Nagoya dari 19 September hingga 4 Oktober 2026, sekali gus mengatasi tiga atau enam acara keseluruhan (kategori lelaki dan wanita) – regu berpasukan, antara regu, dan kuadran dalam Sukan Asia Hangzhou 2023.
“Astaf bertolak ansur dalam rundingan dengan Ainagoc yang menolak acara antara regu wanita sebaliknya rela menerima kuadran campuran kerana menganggap peluang pingat tuan rumah lebih cerah,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa Jepun, sebagai tuan rumah, diberi keistimewaan untuk menyertai kesemua acara, manakala negara-negara peserta lain hanya dibenarkan memilih dua acara dari setiap kategori. Walau bagaimanapun, kuadran campuran dikecualikan daripada sekatan ini dan terbuka kepada semua negara peserta.
Langkah ini dilihat sebagai tindakan yang selaras dengan sekatan monopoli yang dikuatkuasakan Astaf sejak Sukan Asia Guangzhou 2010 dan Sukan SEA Laos 2009.
Kuadran campuran merupakan acara baharu dalam Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dan telah diperkenalkan sebagai cabang baru dalam sepak takraw sejak Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand 2022 di Bangkok. Acara ini juga akan menyertai Sukan Dewan dan Seni Tempur Asia OCA di Bangkok dan Chonburi pada 1 hingga 9 November ini.