PRESTASI pemain skuasy remaja wanita negara di Melbourne memberi bayangan zaman permulaan ratu skuasy negara, Datuk Nicol David kembali, apabila Aira Azman berjaya mara ke final.

Jurulatih skuasy kebangsaan, Andrew Cross berkata, pencapaian di Melbourne sangat baik apabila Aira menamatkan kemarau 22 tahun untuk melihat pemain negara di final, selepas Nicol melakukannya pada 2001.

“Untuk skuad wanita, memang amat membanggakan kerana dalam acara individu, kali ini ada wakil ke final, selepas lebih 20 tahun perkara ini tidak berlaku,” kata Andrew, ditemui di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), ketika pulang dari Melbourne.

Aira Azman muncul naib juara Kejohanan Skuasy Remaja Dunia, di Melbourne, sekali gus menamatkan penantian selama 22 tahun. Kali terakhir pemain negara di final dan muncul juara pada 2001, menerusi Datuk Nicol David.

Menurutnya, prestasi pemain berusia 19 tahun itu memberangsangkan dan menganggap Aira mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan separuh akhir, ketika mengejutkan pemain pilihan kedua Mesir, Fayrouz Abouelkheir 11-5m 14-12, 11-5, sebelum akur dengan kehebatan pilihan utama juga dari negara Afrika itu, Amina Orfi.

“Saya tidak nafikan dia berpotensi menjadi permata baharu skuasy negara dan perjalanannya masih panjang.

“Lihat dia kalah kepada siapa, walaupun lawannya itu berusia 16 tahun tetapi dia adalah juara bertahan. Dia (Amina) mungkin akan memenangi gelaran remaja dunia untuk dua tahun akan datang lagi.

Antara pemain wanita negara yang mempamer prestasi cemerlang dalam acara berpasukan wanita, di Kejohanan Skuasy Remaja Dunia 2023 di Melbourne, Australia.

“Pemain itu amat berbakat malah sudah mula memberi cabaran kepada pemain Top 10 dunia, jadi apabila Aira perlu berdepan lawan sesukar ini di final, saya fikir dia sudah melakukan yang terbaik,” kata Andrew lagi.

Andrew turut gembira kerana pemainnya turut mempertahan kedudukan sebagai naib juara berpasukan wanita.

“Untuk pasukan, saya sememangnya menjangka sukar untuk pemain melepasi Amerika Syarikat (AS) namun pemain berjaya menunjukkan prestasi terbaik dan menepati status pilihan kedua kejohanan,” katanya.

Pasukan wanita negara terpaksa akur kepada kehebatan Mesir apabila sekadar muncul naib juara pada edisi 2017, 2019 dan 2023.

Pasukan remaja wanita belum pernah menjuarai Kejohanan Berpasukan Remaja Dunia, namun dua kali memegang status juara remaja dunia dalam acara individu menerusi Nicol pada 1999 dan 2001.