TIADA lagi alasan buat pemain skuasy wanita negara, untuk terus tunduk kepada kejaguhan Mesir, selepas S Sivasangari menunjukkan caranya di Kejohanan London Classic, baru-baru ini.
Naib juara remaja dunia, Aira Azman berkata, kejayaan Sivasangari itu menjadi inspirasi kepada barisan pemain negara dan berharap, dirinya juga mampu mencipta kejutan sebegitu.
“Sangari sudah menunjukkan kepada kami, bahawa kita juga boleh lakukan apa yang dia dapat, sebagai pemain junior dan rakan sepasukan, saya bangga dan berharap kami semua dapat melakukan perkara sama,” kata Aira, yang akan berlepas ke Mesir, bagi menyertai Kejohanan Antarabangsa El Gouna, yang akan bermula Jumaat hadapan (19 – 26 April).
Seramai empat pemain negara diketuai Sivasangari, Rachel Arnold, Aifa dan Aira Azman mengambil bahagian dalam kejohanan tertinggi bertaraf Platinum itu.
Dalam aksi di London baru-baru ini, Sivasangari mengejutkan pemain nombor satu dunia, Nour El Sherbini dari Mesir di peringkat suku akhir, menyingkir pemain nombor empat dunia dari Belgium Nele Gilis di separuh akhir dan merangkul kejuaraan dengan menumbangkan pemain nombor dua dunia Mesir, Hania El Hammamy.
“Sebenarnya, jika kita gementar, pemain Mesir juga mempunyai perasaan sama setiap kali menentang pemain Malaysia kerana kita sentiasa memberi saingan sengit.
“Untuk saya, saya akan kekal dengan game plan yang sudah dirancang,” tambah Aira yang bersemangat melihat kejayaan Sivasangari.
Seramai 20 daripada 48 pencabar di El Gouna nanti adalah pemain Mesir.
Aira yang kini menghuni tangga ke-41 dunia akan membuka cabaran di El Gouna menentang pemain Mesir yang berada di ranking ke-31, Hana Ramadan di pusingan pertama.
Kedua-dua pemain tidak pernah bertemu di pentas antarabangsa sekali gus menjadikan peluang 50-50 buat kedua-dua pemain.