DUA atlet Sukan Paralimpik dan seorang Sukan Olimpik 2024 negara berlepas ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah umrah pada Selasa.
Tiga atlet negara yang bertuah selepas mempamerkan aksi cemerlang pada Sukan Olimpik dan Paralimpik tahun ini iaitu jaguh berbasikal trek Muhammad Shah Firdaus Sahrom, ikon para lontar peluru Muhammad Ziyad Zolkefli, dan jaguh para lompat jauh negara Datuk Abdul Latif Romly menunaikan umrah bersama keluarga dengan tajaan penuh Ikhlas.com dan AirAsia.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ikhlas.com, Ikhlas Kamaruddin, berkongsi ilham di sebalik tajaan ini, mengakui bahawa hasrat Shah untuk membawa ibu bapanya menunaikan umrah adalah titik tolak bagi projek ini.
“Sebenarnya, ilham ni datang bila Shah bercerita impiannya nak bawa mak ayah dia ke tanah suci. Bagi saya, ia seolah-olah rezeki dah tertulis untuk mereka. Saya cuma jadi laluan buat mereka. Alhamdulillah, Ikhlas.com dapat realisasikan impian ini,” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Perlepasan Umrah Juara Dunia Bersama Juara Olimpik dan Paralimpik Malaysia, KLIA2, Selasa.
Menghargai sumbangan mereka kepada negara, Ikhlas.com telah menunaikan janji kepada Ziyad dan Latif sebagai tanda penghargaan dalam membawa pulang pingat Sukan Paralimpik.
Ikhlas juga menegaskan komitmen AirAsia dalam menyokong para atlet paralimpik sejak sekian lama dengan memberikan “free flight for life” sebagai penghargaan kepada para wira ini.
“Hero Malaya seperti mereka ni layak diberi penghormatan, dan kami di Ikhlas.com bersama AirAsia bangga menyokong perjalanan mereka ke Tanah Suci,” jelasnya.
Para atlet yang terlibat turut meluahkan rasa syukur. Shah Firdaus, terharu dengan kesempatan ini, mengucapkan terima kasih atas bantuan Ikhlas dalam merealisasikan impiannya membawa ibu bapa ke tanah suci.
Abdul Latif pula menyifatkan tajaan ini sebagai satu pengalaman terindah, manakala Ziyad turut berterima kasih atas peluang yang disifatkannya sebagai penghargaan terbesar dalam kariernya sebagai atlet.
Ikhlas.com dan AirAsia berkongsi untuk terus menyokong atlet Malaysia melalui program penghargaan yang bermakna ini, memastikan legasi para juara negara terus dihargai.