PELUMBA kebangsaan, Nur Aisyah Mohamad Zubir percaya bahawa hasil tunjuk ajar dan bimbingan oleh jurulatihnya, Amir Mustafa Rosli akan lebih membantu dirinya untuk mengejar kecemerlangan dalam temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Aisyah yang menjadi pelumba berbasikal lebuh raya wanita pertama Malaysia akan beraksi di pentas Olimpik selepas Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memuktamadkan slotnya untuk ke Paris.

Menurut Aisyah, dirinya juga bersyukur kerana dikurniakan seorang jurulatih yang berpengalaman serta menghormati semua atlet wanita yang berada di bawah programnya.

“Coach Amir merupakan seorang yang memahami atlet juga dan dirinya sangat profesional sebagai jurulatih.

“Selama saya berada di bawah bimbingan beliau, tidak pernah ada sebarang masalah atau kekurangan daripadanya dan saya percaya Coach Amir punyai perancangan yang terbaik untuk saya hadapi Olimpik nanti.

“Beliau juga berpesan supaya saya sentiasa komited dengan latihan dan paling utama untuk jadikan kelayakan ke Olimpik ini sebagai satu batu pelonjak atau pembakar semangat untuk beraksi dengan cemerlang di sana nanti,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Sementara itu, Aisyah turut memberitahu bahawa dirinya setakat ini hanya fokus untuk ke Olimpik 2024 kerana masih belum mendapat jadual tentang perlumbaan-perlumbaan lain.

Untuk rekod, pemilihan Aisyah ke Sukan Olimpik Paris adalah berdasarkan konsistensinya selain kedudukan mata paling tinggi yang diperoleh berbanding pelumba wanita lain.

Artikel berkaitan: PKBM sebulat suara hantar Aisyah Zubir ke Olimpik Paris 2024