NUR Aisyah Zubir selaku wakil tunggal negara dalam acara berbasikal lebuh raya wanita ke temasya Olimpik Paris 2024 membawa niat mulia ke Eropah iaitu untuk mendamba ilmu daripada pelumba-pelumba dunia yang turut sertai kejuaraan di sana.

Aisyah yang merupakan anak jati Terengganu akan terbang ke bumi Eropah pada Selasa untuk menyertai kem latihan di sana sejurus mengasah lagi kemampuan dirinya dengan menyertai kejuaraan-kejuaraan yang akan diadakan di Belgium, Perancis dan Belanda sebelum mulanya Olimpik, Julai nanti.

Menurut Aisyah, matlamat utama  dirinya menimba sebanyak mungkin pengajaran dan pengetahuan daripada pelumba-pelumba lain, supaya dapat memperbaiki dan memperkemaskan lagi corak perlumbaannya di pentas Olimpik Paris nanti.

“Esok saya akan ke Eropah untuk menduduki kem latihan dan sertai perlumbaan di sana. Setiap minggu akan ada perlumbaan, kira-kira dalam dua atau tiga perlumbaan. Saya akan biasakan diri di sana, tambah lagi daripada segi cuaca dan angin yang akan di ‘baca’ nanti.

Aisyah tekad hasilkan prestasi terbaik di Belgium nanti.

“Sekurang-kurangnya saya nak belajar sesuatu daripada mereka (pelumba lain) di sana, seperti di mana mereka gunakan kekuatan dan sebagainya. Kita sendiri tahu masing-masing ada kelebihan tersendiri, cuma cara untuk kita gunakan kemampuan itu adalah pada masa yang betul atau tidak.

“Daripada segi kekuatan kelajuan, saya nak tengok bagaimana mereka tambah kelajuan ketika mendaki dan macam-macam lagi yang saya nak belajar daripada mereka di sana nanti,” kata Aisyah ketika ditemui semasa sesi ramah mesra bersam atlet yang layak ke Olimpik Paris 2024.

Dalam masa yang sama, Aisyah yang turun berseorangan mewakili Malaysia di pentas Olimpik nanti turut menganggap bahawa dirinya perlu lebih berdikari dan bawa diri dengan lebih baik di sana.

“Saya kena pandai bawa diri kerana saya seorang sahaja di sana, manakala mereka yang lain, satu negara dapat hantar ramai wakil. Ada sehingga enam pelumba yang datang dari negara sama dan ada juga yang dapat penuhkan 10 kuota. Jadi saya akan lebih berdikari,” tambah Aisyah.