DUA pemain muda Selangor FC, Mukhairi Ajmal dan Sharul Nazeem mengakui rasa teruja dapat beraksi semula di hadapan penyokong Selangor membuatkan mereka memberikan persembahan terbaik dengan masing-masing menjaringkan satu gol ketika membantu Gergasi Merah menewaskan Perak FC 4-0 dalam aksi Liga Super pada Sabtu.

Kedua-dua pemain yang baru pulang dari kem kebangsaan sempena kempen Kelayakan Bersama Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 itu turut menyatakan rejim latihan berintensiti tinggi di bawah kendalian Kim Pan-gon banyak membantu mereka mengekalkan kecergasan selepas Selangor berehat panjang hampir dua bulan.

“Selepas 56 hari tanpa permainan kompetitif, latihan yang diterapkan Kim Pan-gon dengan corak intensiti tinggi banyak membantu dan apabila pulang dari skuad kebangsaan kita rasa bangga dengan diri kita dan saya pula memang dah janji apabila balik ke kelab saya nak jaringkan gol.

“Saya teruja kerana lama tidak bermain di hadapan penyokong Selangor. Sebab itu saya beri segala-segalanya termasuk dalam latihan. Saya juga pernah ‘score’ lawan Perak di Ipoh dan janji pada diri sendiri untuk ‘score‘ di tempat sendiri dan akhirnya berjaya,” jelas Ajmal yang berjaya membentuk gandingan mantap bersama Yohandry Orozco di bahagian tengah.

Sharul Nazeem atau mesra disapa Afro pula mengakui pada mulanya agak sukar untuk kembali ke tahap kecergasan sepenuhnya kerana kekurangan minit tetapi selepas berjaya menjaringkan gol pada minit ketiga permainan, segalanya berubah dan dia gembira kerana dapat membantu Selangor menghampiri kejohanan Asia musim hadapan.

“Sedikit sukar pada mulanya kerana tidak ada minit permainan selama dua bulan tetapi semangat yang ada pada semua pemain berjaya memastikan kita membawa pulang tiga mata.

“Rezeki saya dapat jaringkan gol kerana dalam bola sepak rezeki tidak pernah salah alamat dan gembira dapat bantu pasukan memungut tiga mata,” katanya.

Ajmal dan Afro kini mahu kembali menumpukan perhatian terhadap latihan menjelang aksi terpenting Merah Kuning musim ini apabila bakal berhadapan Kedah Darul Aman FC di Alor Star dengan kemenangan bakal menjamin laluan ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim hadapan.