JURULATIH Akademi renang CindyOng Swimming, Cindy Ong optimis terhadap perkembangan positif dan potensi semua perenang muda di bawah bimbingannya.

Cindy berkongsi pandangan tentang persiapan anak-anak didiknya serta harapannya dalam setiap pertandingan terutamanya bagi atlet muda yang akan bertanding di peringkat antarabangsa buat kali pertama pada 46th SEA Age Group Championships 2024 di Thailand 6-8 Disember ini.

Cindy menekankan bahawa semua perenang di akademinya akan bertanding dalam kategori 14 hingga 16 tahun.

Perenang daripada CindyOng Swimming giat melakukan latihan di Persatuan Alumni UM (PAUM) swim facility.

“Anak murid saya yang berumur 14 tahun akan bertanding dengan mereka yang lebih tua, berumur sekitar 15 dan 16 tahun. Saya rasa tahun ini mereka lebih untuk mengambil pengalaman, dan ini sangat bagus untuk mereka.

“Terutama bagi Nishan yang tidak pernah bertanding di peringkat antarabangsa sebelum ini. Ini adalah kali pertama,  jadi ia akan memberikan pengalaman yang sangat berharga bagi dia,” kata Cindy kepada Flash Sukan.

Menurut Cindy, matlamat jangka panjang akademi tersebut adalah untuk membawa seberapa ramai perenang ke peringkat negeri dan nasional.

“Misi saya adalah untuk menghantar seberapa ramai anak murid saya ke tahap negeri, dan seramai mungkin ke peringkat nasional.

“Dalam masa dua tahun kami di PAUM, lebih kurang 50 peratus sudah mewakili peringkat negeri dan sekarang 10 peratus di peringkat nasional. Itu adalah misi saya untuk meningkatkan peratusan ini,” jelasnya ketika ditemui di Akademi CindyOng.

Cindy Ong (tengah) bersama dua peserta yang akan ke Kejohanan Umur SEA yang ke-46, Hayden Ong (kanan) dan Nishan Manuel (kiri)

Bagi memastikan perenang akademi ini bukan sahaja berjaya di peringkat serantau tetapi juga berdaya saing di peringkat antarabangsa, Cindy menggariskan strategi latihan yang khusus. 

“Saya gabungkan dalam latihan saya beberapa perkara yang spesifik. Strategi saya untuk latihan mereka bukanlah secara sembarangan.

“Saya tahu apa yang saya ingin capai, dan latihan menjadi sangat khusus. Saya menggunakan prinsip spesifikasi untuk melatih mereka,” tambahnya.

Harapan Cindy terhadap para perenang yang akan bertanding adalah mereka akan mengambil pengalaman yang ada dan berseronok dalam kejohanan itu nanti.

CindyOng Swimming 

“Harapan saya adalah mereka berseronok kerana jika mereka seronok berenang, mereka akan dapat pergi lebih jauh. Jika saya terus memaksa mereka, mungkin mereka akan kehilangan minat dalam sukan ini,” tambahnya lagi.