AKADEMI Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah dianugerahkan status Akademi Dua Bintang (Two-Star Academy) oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di bawah AFC Elite Youth Scheme.
JDT merupakan satu-satunya kelab bola sepak Malaysia yang dianugerahkan status sedemikian.
Perkara mengenainya dimuatnaik menerusi pengumuman di laman media sosial rasmi JDT, Johor Southern Tigers pada Isnin.
“Akademi JDT menerima akreditasi pada bulan Mac selepas memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh badan induk bola sepak Asia tersebut. Anugerah tersebut disampaikan kepada JDT hari ini oleh Persatuan Bolasepak Malaysia sebagai wakil AFC,” tulis hantaran itu.
Pengiktirafan ini diterima setelah Akademi JDT lulus 20 kriteria yang telah ditetapkan oleh AFC. Kriteria tersebut termasuklah dari segi Kepimpinan, Perancangan, Organisasi, Status Kewangan, Fasiliti, Kebajikan Pemain, Pendidikan, Kerjasama dan lain-lain.
Untuk info, selain JDT, Akademi Mokhtar Dahari (AMD) juga terima pengiktirafan yang sama oleh AFC.