BAGI menambahkan lagi kemeriahan pertandingan Piala Emas Raja-Raja, Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari (AMD) dijemput beraksi dalam kejohanan itu musim depan.

Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM), Mohd Firdaus Mohamed berkata, pihaknya merancang memanggil AMD supaya dapat menyertai saingan edisi ke-102.

“Sebenarnya pada tahun hadapan kita menjemput pasukan Akademi Mokhtar Dahari bagi memeriahkan lagi Piala Emas Raja-Raja.

“Kita hendak banyakkan perlawanan untuk Akademi Mokhtar Dahari juga supaya mereka ini banyak terdedah ataupun diberi pendedahan yang lebih luas lagi di peringkat Piala Emas Raja-Raja

“Ini satu pertandingan yang prestij, jadi saya rasa satu pendedahan harus diberikan kepada AMD,” katanya diminta mengulas kemungkinan ada pertambahan bilangan pasukan atau format pasukan bersaing untuk akan datang.

No photo description available.

Baddrol Bakhtiar kini bergelar ahli politik Ahli Dewan Undangan Negeri Gurun, Kedah pernah mewarnai kancah Piala Emas Raja-Raja.

Sementara itu, Mohd Firdaus melihat banyak bakat baharu yang dijumpai dapat diserapkan kepada pasukan pasukan utama negeri.

“Dari segi kebolehan adalah sama tetapi mungkin ada lagi elemen yang mereka kena perkasakan lagi permainan.

“Tapi saya yakin sebab semuanya muda dan masih berumur di bawah 20 tahun. Peluang untuk mewakili negara masih cerah dan saya difahamkan ada juga yang pernah wakili negara di peringkat umur bawah 17 bulan,” katanya.

Ujar Firdaus, pentas Piala Emas Raja-Raja bukan sekadar pertandingan kerana sejumlah pemain ternama dilahirkan daripada ‘kilang’ ini bagi membarisi pasukan senior negeri masing-masing.

Antaranya, Safawi Rasid, Syafiq Ahmad, Hafiz Kamal dan Baddrol Bakhtiar serta Badhri Radzi.