DATUK Misbun Sidek bukan lagi jurulatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM), selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memutuskan untuk tidak menggunakan khidmatnya lagi.
Jodoh legenda badminton negara itu dengan BAM, menemui jalan perpisahan, apabila kontraknya sebagai Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja Kebangsaan di ABM, ditamatkan lebih awal, selepas kedua-dua pihak mencapai kata sepakat.
Justeru, persetujuan bersama yang dicapai Misbun-BAM itu menyaksikan penasihat kelab badminton Nusa Mahsuri terbabit meninggalkan badan induk badminton negara, berkuat kuasa serta merta.
“BAM dan Datuk Haji Misbun Sidek mencapai persetujuan bersama selepas berkerjasama sejak lebih enam tahun,” kata Timbalan Presiden BAM, Datuk V Subramaniam, yang mengepalai Jawatankuasa Khas, menilai prestasi skuad remaja negara di Kejohanan Remaja Asia, yang berlangsung di Yogyakarta, baru-baru ini.
Subramaniam membuat pengumuman itu dalam satu sidang media yang berlangsung di ABM, yang turut dihadiri Setiausaha Agung, Datuk Kenny Goh.
Apabila ditanya mengenai faktor utama penamatan kontrak Misbun dan perkara yang gagal memuaskan hati BAM, Subramaniam berkata: “Bukan soal kepuasan, kami sudah membincangkannya dengan panjang lebar bersama semua pemegang taruh dan selepas perbincangan itu, kami dapati sesuatu perlu diubah untuk kebaikan.
“Misbun faham… kami faham, jadi kami fikir kita perlu mencari satu bab baharu.
“Tidak dapat dinafikan bahawa Misbun sudah memberikan yang terbaik sepanjang berada di sini, memimpin pemain mengenai cara untuk maju ke hadapan tetapi keputusannya tiada, jadi mungkin menggunakan program berbeza boleh memajukan pemain.”
Dalam pada itu, Subramaniam menafikan bahawa keputusan menamatkan kontrak Misbun yang sepatutnya berakhir hujung tahun ini telah dirancang, sebelum penubuhan Jawatankuasa Khas lagi.
Justeru, pemain remaja yang akan mewakili negara ke Kejohanan Remaja Dunia di Honolulu, Amerika syarikat (AS) 25 september hingga 8 Oktober depan, akan menjalani latihan bersama skuad senior kebangsaan.
“Pemain yang terpilih ke Kejohanan Remaja Dunia nanti akan menjalani latihan bersama skuad senior sehingga kejohanan berakhir.
“Pemain perseorangan remaja yang lain pula akan berlatih dibawah kendalian jurulatih yang sudah ditetapkan.
“Kategori umur bawah 18 tahun akan berlatih di bawah jagaan Hazwan (Mohd Hazwan Jamaluddin) dibantu Misbun Ramdan Misbun dan Goh Giap Chin, sementara Ameer Zainuddin kekal melatih pemain bawah 15 tahun,” kata Subramaniam.
Beliau turut mengesahkan sepanajng tempoh persiapan pemain remaja ke Kejohanan Remaja Dunia, pihaknya akan mencari pengganti Misbun.
Untuk rekod, ini adalah kali ketiga Misbun, 63, meninggalkan BAM sejak kembali semula pada 2017.
Misbun sebelum ini diberi peranan sebagai Pengarah Pembangunan Skuad Remaja ABM pada 2020, diturunkan pangkat kepada Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja selepas prestasi buruk skuad negara di Kejohanan Remaja Dunia yang berlangsung di Santander, Sepanyol, Oktober tahun lalu.