PENYERANG Harimau Malaya, Akhyar Rashid dikhabarkan menjadi mangsa samun dalam satu kejadian di Kuala Terengganu.
Penyerang berusia 25 tahun yang kini bersama pasukan Terengganu FC (TFC) itu, dilaporkan mengalami kecederaan dalam insiden yang tidak diingini itu selain melibatkan kerugian akibat samun.
Berdasarkan rakaman video dan gambar yang tersebar di laman sosial Facebook serta aplikasi WhatsAop itu, pemain kelahiran Kedah terbabit dihantar ke sebuah pusat perubatan di negeri terbabit.
Mengikut nota rakaman suara yang tular juga, Akhyar dipercayai disamun ketika berada di Kampung Tanjung, di tengah bandar Kuala Terengganu.
Malah pemain sayap itu, dipercayai mengalami kecederaan di bahagian kepala akibat hentakan senjata keras iaitu cota, sebagaimana rakaman nota suara yang tersebar.
Akhyar menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-25 semalam, menyertai TFC pada Februari lalu secara pinjaman dari juara Liga Super 10 kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT).