SKUAD Harimau Malaya tidak berdepan masalah untuk mencatat satu lagi kemenangan dalam aksi persahabatan antarabangsa dengan kali ini menjadikan Hong Kong sebagai mangsa dengan keputusan 2-0.
Dua gol dari Akhyar Rashid dan Faisal Halim sudah cukup untuk memberikan kejayaan kepada pasukan bimbingan Kim Pan-gon dan menggembirakan 4,593 penyokong yang hadir ke stadium.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri itu, Kim Pan-gon melakukan empat pertukaran dengan menurunkan Shahrul Saad, Nooa Laine, Quentin Cheng dan Azam Azih menggantikan Dominic Tan, Brendan Gan, Endrick Dos Santos dan Matt Davies.
PERSAHABATAN ANTARABANGSA 2023
HT: Malaysia 2-0 Hong Kong
⚽ Akhyar Rashid 18', Faisal Halim 41'#HarimauMalaya pic.twitter.com/phJQds0y5A
— Flash Sukan (@FlashSukan) March 28, 2023
Malaysia bermula agak perlahan dengan Hong Kong dilihat lebih banyak menyerang pada peringkat awal dan hampir di depan seawal empat minit namun percubaan Vas Nunez dinafikan tiang gol.
Seperti ketika menentang Turkmenistan, Akhyar Rashid sekali lagi meledak gol pertama Malaysia dan gol kesepuluh peribadinya selepas Faisal Halim bijak melorongkan bola selepas melakukan tekanan kepada pertahanan lawan pada minit ke-18.
Gol itu nyata menaikkan lagi semangat para pemain untuk mencari gol kedua namun kelekaan barisan pertahanan sekali lagi nyaris dihukum Hong Kong namun percubaan Poon Poi Hin sedikit tersasar.
Tersentak dengan serangan itu, Malaysia kembali mengatur gerak dan pada minit ke-41, bermula dari hantaran Syihan Hazmi yang sampai tepat ke Darren Lok yang kemudiannya mengumpan kepada Faisal Halim untuk gol kedua Malaysia sekaligus menamatkan kemarau jaringannya.
Tidak banyak perubahan dari segi corak permainan pada babak kedua dengan Malaysia terus menerus melancarkan serangan bertali arus ke kubu Hong Kong menerusi Darren Lok dan Faisal Halim namum tidak menemui sasaran.
Beberapa pertukaran pemain dilakukan Pan-gon selepas itu untuk memberi peluang kepada pemain mendapat minit permainan selain menguji barisan alternatif yang boleh dibentuk sebagai persediaan ke Piala Asia.
Keputusan 2-0 kekal hingga tamat perlawanan dan Malaysia berjaya memenangi kedua-dua perlawanan persahabatan dalam kalendar Fifa kali ini dan berjaya menambah kira-kira 10 mata dalam ranking sekaligus memperbaiki kedudukan dalam ranking dunia.