PEMAIN sayap kebangsaan, Akhyar Rashid nyata berpuas hati selepas berjaya menjaringkan dua gol dalam dua kemenangan penting skuad Harimau Malaya pada jendela perlawanan antarabangsa Fifa di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Dia yang jarang mendapat tempat di peringkat kelab berjaya membuktikan potensi dirinya di peringkat antarabangsa dengan hanya mengikut kehendak jurulatih dan hasilnya berjaya membantu Malaysia memperbaiki kedudukan dalam ranking dunia.

Dia juga berkata rasa puas itu adalah disebabkan dia jarang mendapat peluang beraksi sekali gus tidak berpeluang menampilkan potensi sebenar yang dimiliki.

“Bagi saya untuk dua perlawanan ini, disebabkan saya jarang dapat main jadi saya puas hati sangat kerana dua gol dalam dua perlawanan. Untuk perlawanan berikutnya saya akan buat lebih baik. Saya tak rasa bermain dengan sangat baik dalam dua perlawanan ini tetapi saya cuba buat apa yang terdaya.

“Saya terharu dan berterima kasih kepada keseluruhan pasukan kerana berikan dorongan walaupun saya jarang dapat bermain, itu lah yang saya boleh buat, saya bagi 100 peratus dalam permainan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Dalam perlawanan tersebut, pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) berusia 24 tahun itu meletakkan nama sebagai penjaring selain satu lagi gol menerusi Faisal Halim cukup untuk membantu Malaysia merakam kemenangan 2-0 ke atas Hong Kong.

Akhyar yang diberikan peluang oleh Kim Pan-gon untuk memulakan perlawanan dalam dua perlawanan juga muncul wira Harimau Malaya sebelum ini apabila jaringan tunggalnya memastikan Malaysia menang keatas Turkmenistan 1-0 di venue yang sama minggu lalu.

Bercakap mengenai tahap kecergasannya serta keupayaan mengekalkan rentak setiap kali dipanggil menyarung jersi negara di sebalik jarang beraksi Akhyar berkongsi rahsianya iaitu menjaga makan dan minum, meskipun mengakui kekurangan minit permainan antara faktor dia tidak begitu cergas.

“Saya jaga makan dan minum, saya tidak cukup cergas disebabkan tidak cukup minit permainan tetapi saya cuba buat yang bagus dalam latihan dan perkara ini sama sekali tidak mematahkan semangat saya,” tambahnya.

Di peringkat kelab, Akhyar masih belum berjaya merebut tempat dalam kesebelasan utama dan hanya dimasukkan sebagai pemain gantian dalam dua perlawanan Liga Super iaitu ketika membantu Harimau Selatan meraih kemenangan besar ke atas Negeri Sembilan dan Kelantan.

Dia kini sudah mengumpul 39 penampilan bersama skuad kebangsaan dan berjaya menjaringkan 10 gol dan dianggap antara pemain yang kerap mendapat tempat dalam skuad kebangsaan.