SELAIN nama Safawi Rasid, Akhyar Rashid juga antara yang mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan apabila dirinya mengambil keputusan untuk berhijrah ke Terengganu FC pada musim ini.

Seperti diketahui, motif utama Akhyar dipinjamkan ke Terengganu adalah supaya pemain berusia 24 tahun itu dapat mengumpul semula minit permainan, setelah hanya kerap bermain pada minit-minit akhir perlawanan di JDT.

Akhyar sendiri mengakui dirinya telah meletakkan harapan yang tinggi untuk bermain di skuad Sang Penyu, demi minit permainan, sekali gus membantu pasukan kendalian Tomislav Steinbruckner untuk mara ke peringkat lebih cemerlang.

Akhyar optimis dirinya dapat membuktikan yang terbaik di hadapan Tomislav.

Tambahan lagi, walaupun pemain kebangsaan itu sedar akan cabaran untuk mewakili kebelasan utama pasukan kerana hadirnya pemain-pemain import berkualiti, namun Akhyar yakin dirinya dapat membuktikan yang terbaik pada jurulatih.

“Semua pasti mahu tunjukkan yang terbaik, jadi saya juga mahu tunjukkan yang terbaik. Saya tidak kisah jurulatih mahu masukkan sesiapa sahaja, semua boleh bermain.

“Tetapi, harapan saya untuk bermain itu tinggi juga, sebab itu saya keluar (JDT) untuk minta di ‘loan‘ kan,” ujar Akhyar kepada FLASH SUKAN.

Dalam perkembangan sama, Akhyar turut menyifatkan bahawa tekanan yang dilalui bersama Terengganu FC adalah perkara biasa yang sudah dihadapi semasa di pasukan JDT.

Tekanan yang dihadapi bersama Terengganu adalah perkara biasa.

Dengan itu, tidak menjadi sebarang masalah untuknya dalam mendepani jangkaan-jangkaan besar daripada penyokong bola sepak Terengganu sendiri.

Sebagai rekod musim lalu, tunjang pasukan Harimau Malaya ini telah diberi kepercayaan untuk mewakili kesebelasan utama atau sebagai pemain gantian sebanyak 13 kali.

Dalam 13 aksi itu, Akhyar telah berjaya mengumpul minit perlawanan selama 707 minit, malah kelibatnya di skuad kebangsaan adalah lebih banyak berbanding di pasukan Johor Darul Takzim (JDT).