FOTO : TFC

KELIBAT Akhyar Rashid kembali menceriakan kem Terengganu FC (TFC) apabila mula menyertai latihan ringan selepas kejadian samun dan pukul yang menimpanya, 2 Mei lalu.

Akhyar ketika ditemui pemberita, berkata, keadaannya sudah beransur pulih dan dijangka dapat menyertai latihan penuh bersama rakan-sepasukannya dalam masa terdekat.

Menurut pemain sayap itu, dia juga sedia merebut tempat dalam kesebelasan utama TFC bertemu Penang FC selepas terlepas aksi pembukaan mengalahkan Perak, Sabtu lalu.

May be an image of 1 person, playing football, playing American football and text that says "TERENG TERENGGANU ANU aL 33 33 ZN 33 aL 33"

Kelibat Akhyar ceriakan kem Terengganu FC.

“Buat masa ini saya cuma menjalani latihan ringan, jahitan di bahagian kaki akan dibuka satu atau dua hari lagi dan mungkin selepas itu saya boleh menyertai latihan penuh bersama pasukan.

“Dari segi mental, saya sudah bersedia tetapi mungkin jurulatih (Tomislav Steinbrucnkner) sudah ada percaturan. Apa yang penting saya mahu berlatih dahulu dan dapatkan kepercayaan beliau.

“Walaupun masih trauma, semangat saya tidak akan pudar sebaliknya mahu melupakan insiden ini dan kembali turun padang dengan semangat baharu,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Dalam perkembangan sama, Akhyar menyerahkan kepada pihak polis untuk meneruskan siasatan bagi mengesan suspek yang terlibat dalam kes samun dan pukul berkenaan.

Pemain pinjaman Johor Darul Ta’zim (JDT) itu turut berterima kasih kepada penyokong bola sepak negara yang tidak putus-putus mendoakan kesembuhannya sejak kejadian malang berkenaan.