KEDUDUKAN Frank Lampard dalam bahaya apabila bakal disiasat FA England susulan sindirannya terhadap pengadil perlawanan, Stuart Atwell.
Aksi derbi Merseyside antara Everton dan Liverpool pada Ahad berlangsung sengit dan tegang. Pemain The Toffees mengamalkan corak permainan keras dan mencetuskan emosi kedua-dua pasukan.
Layangan kad kuning mudah dikeluarkan Atwell dan Everton berang kerana tidak mendapat sepakan penalti selepas Anthony Gordon dijatuhkan Joel Matip.
Lampard menyindir Liverpool pasti mendapat penalti jika situasi Gordon dialami Mohamed Salah apatah lagi bermain di Anfield.
Pihak Everton terus melakukan protes kepada Ketua Persatuan Pengadil England, Mike Riley keputusan Atwell tidak memberikan penalti kepada mereka.
Memetik laporan The Athletic, FA bakal memanggil pengurus Everton itu untuk menjelaskan komennya ke atas Stuart Atwell manakala Anthony Gordon tidak pula dipanggil selepas memuatnaik video di akaun Twitter berhubung insiden dengan Matip.
Lampard jelas kecewa dengan kekalahan itu kerana Everton kini berada di zon penyingkiran dan hanya mengutip 29 mata.