SELEPAS meraih gelaran juara pada musim lepas, Md Akid Aziz dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha – CKJ Racing akan kembali untuk memberikan saingan yang hebat di kategori CP150.

Dia kembali dengan azam baharu dan tidak melengahkan masa dalam usahanya untuk mempertahankan kejuaraannya.

Pusingan pertama yang telah berlangsung sebelum ini di daerah Jasin hampir dua bulan lepas, Akid berjaya mengulangi persembahan yang mantap sekali gus menyambar tempat pertama di podium.

Akid mahu meneruskan momentum kemenangannya untuk musim ini.

Pelumba yang berasal dari Kuala Lumpur ini jelas memiliki kemahiran yang agak luar biasa, mampu memberikan tumpuan sepenuhnya dan mengelak sebarang kesilapan semasa perlumbaan.

Kelebihan Akid juga jelas ternyata dengan kebolehannya untuk menyesuaikan diri di mana-mana litar, sama ada di litar kelajuan tinggi mahupun di litar teknikal.

Pada musim lepas, Akid telah menamatkan perlumbaannya di tempat kedua di Litar Tangkak setelah memberikan saingan yang hebat kepada rakan sepasukannya.

Menurut Akid, untuk litar Tangkak, ramai yang sudah pun dapat set up untuk jentera mereka lebih-lebih lagi dengan data-data lama untuk rujukan berbanding dengan litar Jasin hari itu.

“Litar Jasin masih baharu maka untuk dapatkan informasi dan data mengambil masa. Boleh dikatakan, persaingan di litar Tangkak semestinya sengit. Pelumba-pelumba di kategori ini pun, ramai yang berpengalaman dan sudah biasa dengan susun atur litar tersebut.

“Pada musim lepas di Tangkak, jentera saya dalam keadaan yang kurang baik dan saya menghadapi banyak cabaran dari masa latihan bebas sehingga ke hari perlumbaan. Saya berharap semuanya berjalan dengan lancar bagi pusingan yang akan datang nanti,” katanya.

Akid meraih tempat pertama dalam perlumbaan di Jasin sebelum ini.

Menurutnya lagi, pencabar utama di litar Tangkak adalah Afif, Kasma, Azroy, Nazirul dan Aiman, dengan masing-masing mempunyai kelebihan di litar tersebut, pantas mengambil peluang di mana boleh dan mempunyai rekod yang baik di Tangkak.

“Walaupun saingan pelumba-pelumba kuat, namun saya masih ada keyakinan dengan diri dan juga jentera saya. Pada pusingan pertama, keadaan jentera saya cukup baik berbanding dengan tahun-tahun lepas. Matlamat saya adalah untuk memperbaiki kekurangan saya dan cuba kekalkan kejuaraan saya,” ujarnya.